MEMBAZIR !!!
ingat membazir ni utk wang & masa sahaja?
Sebenarnya terdapat banyak kalimah membazir di dalam
al-Qur'an. Selain kalimah "Membazir" atau "berlebihan"
diambil juga daripada kalimah "asrafa" yang berjumlah 23 kesemuanya.
Ia didapati pada 21 ayat, antaranya ialah:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ
الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah
saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat
kufur kepada Tuhannya."(QS. Al-Isra' : 27)
Malah dalam teks sebenar ini sifat membazir itu amat hina
sehingga ALLAH mempersaudarakan orang yang membazir itu dengan syaitan.
Tapi, kenapa antara
sifat2 mazmumah yang ada, sifat membazir jugak yang menjadikan seseorang
saudara syaitan?
Tidak lain dan tidak bukan
dalam diri orang yang membazir itu ada perasaan takabbur kerana tidaklah
seseorang itu membazir melainkan dia merasakan dirinya punya kelebihan. Dan
sesungguhnya sifat takabbur itu juga
ada pada syaitan.
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ
اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya:"Dan
(ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat)
kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan
Iblis; ia enggan dan takabbur, dan menjadilah ia dari golongan Yang
kafir." [Surah al-Baqarah : 34]
Tidaklah ALLAH
menghukum iblis itu kerana dia melakukan kesalahan. Nabi Adam a.s juga
melakukan kesalahan ketika memakan buah dari pohon terlarang di syurga namun
kerana sifat TAKABBUR yang ada pada iblis; merasai dirinya LEBIH dari yang
lain, maka ia dihukum. Namun samada sesorang itu takabbur atau tidak, ALLAH
jualah yang lebih mengetahui..
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ
مِنْ كِبْرٍ
Maksudnya :"Tidak akan masuk syurga seseorang yang
dalam hatinya ada sebesar zarah rasa takabbur"
PENCERAHAN :
Pembaziran
diambil dari sudut bahasa iaitu yang bermaksud boros. Manakala dari sudut
istilah syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang
bukan hak (kebenaran).
Ibnu Mas’ud
menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau
menggunakan harta pada jalan maksiat. Begitu juga takrif yang diberi oleh Ibnu
Kathir. Pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada
perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah S.W.T. Contoh,
mengeluarkan sejumlah duit yang bukan sedikit untuk membeli pakaian yang tidak
menutup aurat, berhibur di tempat-tempat hiburan yang melalaian seperti di
Karaoke Box dengan bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan
seumpamanya.
Ramai di kalangan
kita yang tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada
wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luas
skop dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat kebendaan dan
bukan kebendaan seperti perasaan, sikap dan seumpamanya.
Sekiranya
perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang oleh
Allah S.W.T, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir
dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak
tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Allah S.W.T (kufur nikmat)
Syeikh Ibnu
al-Qayum al-Jauziyah mengatakan terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering
dilakukan manusia antaranya:
1. Pembaziran
ilmu pengetahuan - iaitu membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.
2. Pembaziran
amalan - iaitu membazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas
3. Pembaziran
kekayaan - iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat
dan tidak diredai Allah SWT.
4. Pembaziran
hati - iaitu membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah SWT.
5. Pembaziran
tubuh badan - iaitu membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah
SWT.
6. Pembaziran
cinta - iaitu membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta
kepadaNya.
7. Pembaziran
masa - iaitu membazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.
8. Pembaziran
akal - iaitu membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada Agama.
9. Pembaziran
zikir - iaitu membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.
Rasulullah ﷺ
melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu yang melampaui
batas. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadis: “Ketika Mu’awiyah berkunjung ke
Kufah, maka Abdullah bin Amr bercerita mengenai Rasulullah ﷺ,
katanya Rasulullah ﷺ tidak pernah melampaui batas dan tidak
pernah melakukan perkara keji. Beliau juga berkata: Rasulullah ﷺ
bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang
paling baik budi pekertinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
.
Rasulullah ﷺ
bersabda : “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehinggalah
dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya kemanakah dihabiskan
umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai
hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan jalan manakah dia belanjakan?
Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” (Hadis Hasan Sahih
riwayat Tirmizi)
KESIMPULAN :
Begitu juga
pembaziran boleh berlaku kepada diri kita tanpa kita sedari. Contohnya, berapa
banyak masa yang telah kita bazirkan dengan media sosial yang kita rasakan sangat
bermanfaat ini daripada masa yang sama kita gunakan untuk membaca Al-Quran. Ada
orang yang tak boleh berenggang langsung dengan gajet media sosial ini. Waktu
makan, waktu di rumah, waktu rehat mahupun ketika waktu bekerja sekalipun,
sehinggakan sebelum dan selepas solat sahaja terus melihat-lihat pada gajet
kot-kot ada mesej penting. Lebih penting daripada berwirid dan
beristighfar kepada Allah. Allahu Allah !
ELAKKAN GEJALA PEMBAZIRAN WAKTU
Masa atau waktu adalah sesuatu yang dipandang tinggi oleh
Islam. Kepentingannya jelas dilihat di dalam al-Quran bila Allah SWT sering
bersumpah dengan masa ketika memulakan surah-surah al-quran; ..., Demi masa,
..., Demi waktu Fajar, ..., Demi waktu Dhuha, ..., Demi waktu Malam dan
sebagainya.
Tentu sekali semua detik waktu yang disebut di dalam
al-Quran ini mengandungi maksud yang penting sehingga Allah SWT bersumpah
dengannya. Padanya juga ada hikmah
yang besar bagi hamba-hamba Allah yang dapat menghayatinya. Namun ramai manusia
mengabaikan kepentingan waktu di sepanjang kehidupan mereka.
Hadis daripada
Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Dua nikmat yang ramai manusia sering lalai dengannya;
sihat dan waktu lapang". (Riwayat al-Bukhari)
Benarlah sabda baginda. Kita sering leka dan membuang masa.
Kerisauan terhadap gejala membazir masa dalam masyarakat kita semakin jelas
kelihatan khususnya di musim cuti persekolahan. Ramai para pelajar dan remaja leka dan membuang masa tanpa sebarang
aktiviti berfaedah sepanjang cuti. Cuba perhatikan apakah yang mereka
lakukan. Apakah ia aktiviti bermanfaat atau hanya membazir masa? Antara
aktiviti mereka ialah melepak bersama rakan-rakan sepanjang hari, merambu
dengan dengan motosikal tanpa tujuan, menghadap internet dan bersembang di
laman sosial berjam-jam lamanya, berhibur, dan bergaul bebas antara remaja
lelaki dan wanita tanpa batasan.
Apakah pengisian masa sebegini wajar dijadikan budaya? Di
manakah nilai waktu dalam kehidupan kita? Mengapakah kita gagal mengisi masa dengan tepat dan sempurna? Kenapa kita
terus membazirkannya tanpa rasa rugi atau berdosa?
Sebenarnya semua
ini berpunca dari kurangnya kesedaran ibu bapa dan remaja sendiri tentang
kepentingan menghargai waktu. Justeru, mari kita lihat mengapa Islam
sangat menitik beratkan persoalan menghargai waktu, sebagaimana berikut :
Pertama : Masa
dan waktu adalah sesuatu yang amat berharga. Setiap detik yang telah dibazirkan
berlalu tidak mungkin dapat diganti atau dibayar dengan apa jua pun untuk
mengembalikannya. Ingatlah, kegagalan mengisi masa dengan sesuatu yang
bermanfaat bermakna kita telah membuang sesuatu yang sangat berharga yang tiada
ternilai harganya.
Kedua : Masa
adalah usia kita. Usia kita pula adalah modal hidup yang telah ditentukan
kadarnya. Ia perlu diisi untuk menentukan kejayaan hidup kita di dunia dan di
akhirat kelak.
Tidakkah kita
sedar hakikat ini? Seharian yang kita abaikan tanpa sebarang ilmu, kerja, amal
ibadah atau apa juga kebaikan bererti ia telah dibiar lenyap pergi memamah usia
kita. Inilah yang akan mengundang penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat
kelak. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminun ayat 99 dan 100:
"Kesudahan
golongan yang ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara
mereka, berkatalah dia, "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (hidup semula di
dunia); Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh yang telah aku
tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah
ungkapan yang sengaja dia lafazkan, sedangkan di hadapan mereka ada dinding
(penghalang mereka ke dunia) sehingga hari mereka dibangkitkan semula".
Ketiga : Masa
adalah nikmat yang akan dihisab dan dipertanggungjawabkan di akhirat. Kita akan
dipersoalkan terhadap perlakuan kita di setiap detik yang dilalui.
Hadis daripada
Abu Barzah al-Aslamiy R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda;
"Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada
hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa dia habiskan, tentang
ilmunya apakah telah dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan
ke mana dia belanjakan dan tentang tubuh badannya pada perkara apa dia
gunakan". (Riwayat at-Tirmidzi)