Maksudnya : “ Sesiapa mengajak kepada sesuatu petunjuk yang
benar, maka baginya adalah pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya,
tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala-pahala mereka itu. Dan sesiapa
mengajak kepada sesuatu kesesatan, maka baginya adalah dosa sebagaimana dosa
orang yang mengikutinya, tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa-dosa
mereka itu,”
(HR Muslim : 4831)
Pahala Dan Dosa Seperti Melakukannya
Di dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyampaikan berita
gembira bagi orang yang mengajak dan mengajarkan kepada manusia kebaikan dan
pahala, serta ancaman ke atas mereka yang mengajak manusia kepada kesesatan dan
dosa.
Orang yang mengajak atau mengajar kebaikan kepada manusia
maka dia akan mendapat pahala sebagaimana orang yang mengikuti apa yang dia
seru.
Selagimana orang yang diserunya itu mengamalkan ajakan atau
ajarannya, maka selagi itulah dia akan mendapat pahala. Sebagaimana air yang
mengalir berterusan, tidak kira orang menyeru itu masih hidup ataupun telah
meninggal dunia.
Begitu juga sebaliknya, bagi orang yang mengajak atau
mengajarkan keburukan dan kejahatan kepada manusia maka dia akan mendapat dosa
sebagaimana orang yang mengikuti apa yang diserunya.
Selagi mana orang yang diserunya itu mengamalkan ajakan atau
ajarannya, maka selagi itulah dia akan mendapat dosa secara berterusan
sebagaimana melakukannya. Sama ada ketika itu dia masih hidup ataupun sudah
meninggal dunia.
Tiga Amalan Yang Tidak Akan Putus
Selain menyeru dan mengajak manusia kepada kebaikan,
terdapat beberapa lagi perkara yang pahala amalannya tidak akan putus bagi
orang yang melakukannya. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya :Apabila meninggal dunia seseorang manusia, maka
putuslah amalannya, melainakn daripada tiga jenis perkara : iaitu sedekah
jariah atau ilmu yang dapat diambil kemanfaatannyaatau anak soleh yang
mendoakanya.
(HR Muslim : 3984 )