menarik minggu ini

sahabat saya

Search

  • rakan adik

    Friday, February 26, 2016

    PEMBAZIRAN


    MEMBAZIR !!!

     ingat membazir ni utk wang & masa sahaja?
    Sebenarnya terdapat banyak kalimah membazir di dalam al-Qur'an. Selain kalimah "Membazir" atau "berlebihan" diambil juga daripada kalimah "asrafa" yang berjumlah 23 kesemuanya. Ia didapati pada 21 ayat, antaranya ialah:
    إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
    "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."(QS. Al-Isra' : 27)

    Malah dalam teks sebenar ini sifat membazir itu amat hina sehingga ALLAH mempersaudarakan orang yang membazir itu dengan syaitan.
     Tapi, kenapa antara sifat2 mazmumah yang ada, sifat membazir jugak yang menjadikan seseorang saudara syaitan?
     Tidak lain dan tidak bukan dalam diri orang yang membazir itu ada perasaan takabbur kerana tidaklah seseorang itu membazir melainkan dia merasakan dirinya punya kelebihan. Dan sesungguhnya sifat takabbur itu juga ada pada syaitan.

     وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
     Maksudnya:"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takabbur, dan menjadilah ia dari golongan Yang kafir." [Surah al-Baqarah : 34]

     Tidaklah ALLAH menghukum iblis itu kerana dia melakukan kesalahan. Nabi Adam a.s juga melakukan kesalahan ketika memakan buah dari pohon terlarang di syurga namun kerana sifat TAKABBUR yang ada pada iblis; merasai dirinya LEBIH dari yang lain, maka ia dihukum. Namun samada sesorang itu takabbur atau tidak, ALLAH jualah yang lebih mengetahui..

    لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
    Maksudnya :"Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sebesar zarah rasa takabbur"

    PENCERAHAN :
    Pembaziran diambil dari sudut bahasa iaitu yang bermaksud boros. Manakala dari sudut istilah syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran).
    Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat. Begitu juga takrif yang diberi oleh Ibnu Kathir. Pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah S.W.T. Contoh, mengeluarkan sejumlah duit yang bukan sedikit untuk membeli pakaian yang tidak menutup aurat, berhibur di tempat-tempat hiburan yang melalaian seperti di Karaoke Box dengan bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan seumpamanya.
    Ramai di kalangan kita yang tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luas skop dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat kebendaan dan bukan kebendaan seperti perasaan, sikap dan seumpamanya.
    Sekiranya perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang oleh Allah S.W.T, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Allah S.W.T (kufur nikmat)
    Syeikh Ibnu al-Qayum al-Jauziyah mengatakan terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia antaranya:

    1. Pembaziran ilmu pengetahuan - iaitu membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.
    2. Pembaziran amalan - iaitu membazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas
    3. Pembaziran kekayaan - iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah SWT.
    4. Pembaziran hati - iaitu membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah SWT.
    5. Pembaziran tubuh badan - iaitu membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.
    6. Pembaziran cinta - iaitu membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepadaNya.
    7. Pembaziran masa - iaitu membazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.
    8. Pembaziran akal - iaitu membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada Agama.
    9. Pembaziran zikir - iaitu membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.


    Rasulullah melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu yang melampaui batas. Perkara ini ada dijelaskan dalam hadis: “Ketika Mu’awiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin Amr bercerita mengenai Rasulullah , katanya Rasulullah tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah melakukan perkara keji. Beliau juga berkata: Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
     .
    Rasulullah bersabda : “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehinggalah dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya kemanakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” (Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi)

    KESIMPULAN :
    Begitu juga pembaziran boleh berlaku kepada diri kita tanpa kita sedari. Contohnya, berapa banyak masa yang telah kita bazirkan dengan media sosial yang kita rasakan sangat bermanfaat ini daripada masa yang sama kita gunakan untuk membaca Al-Quran. Ada orang yang tak boleh berenggang langsung dengan gajet media sosial ini. Waktu makan, waktu di rumah, waktu rehat mahupun ketika waktu bekerja sekalipun, sehinggakan sebelum dan selepas solat sahaja terus melihat-lihat pada gajet kot-kot ada mesej penting. Lebih penting daripada berwirid dan beristighfar kepada Allah. Allahu Allah !

    ELAKKAN GEJALA PEMBAZIRAN WAKTU
    Masa atau waktu adalah sesuatu yang dipandang tinggi oleh Islam. Kepentingannya jelas dilihat di dalam al-Quran bila Allah SWT sering bersumpah dengan masa ketika memulakan surah-surah al-quran; ..., Demi masa, ..., Demi waktu Fajar, ..., Demi waktu Dhuha, ..., Demi waktu Malam dan sebagainya.

    Tentu sekali semua detik waktu yang disebut di dalam al-Quran ini mengandungi maksud yang penting sehingga Allah SWT bersumpah dengannya. Padanya juga ada hikmah yang besar bagi hamba-hamba Allah yang dapat menghayatinya. Namun ramai manusia mengabaikan kepentingan waktu di sepanjang kehidupan mereka.

    Hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

    "Dua nikmat yang ramai manusia sering lalai dengannya; sihat dan waktu lapang". (Riwayat al-Bukhari)

    Benarlah sabda baginda. Kita sering leka dan membuang masa. Kerisauan terhadap gejala membazir masa dalam masyarakat kita semakin jelas kelihatan khususnya di musim cuti persekolahan. Ramai para pelajar dan remaja leka dan membuang masa tanpa sebarang aktiviti berfaedah sepanjang cuti. Cuba perhatikan apakah yang mereka lakukan. Apakah ia aktiviti bermanfaat atau hanya membazir masa? Antara aktiviti mereka ialah melepak bersama rakan-rakan sepanjang hari, merambu dengan dengan motosikal tanpa tujuan, menghadap internet dan bersembang di laman sosial berjam-jam lamanya, berhibur, dan bergaul bebas antara remaja lelaki dan wanita tanpa batasan.

    Apakah pengisian masa sebegini wajar dijadikan budaya? Di manakah nilai waktu dalam kehidupan kita? Mengapakah kita gagal mengisi masa dengan tepat dan sempurna? Kenapa kita terus membazirkannya tanpa rasa rugi atau berdosa?

    Sebenarnya semua ini berpunca dari kurangnya kesedaran ibu bapa dan remaja sendiri tentang kepentingan menghargai waktu. Justeru, mari kita lihat mengapa Islam sangat menitik beratkan persoalan menghargai waktu, sebagaimana berikut :

    Pertama : Masa dan waktu adalah sesuatu yang amat berharga. Setiap detik yang telah dibazirkan berlalu tidak mungkin dapat diganti atau dibayar dengan apa jua pun untuk mengembalikannya. Ingatlah, kegagalan mengisi masa dengan sesuatu yang bermanfaat bermakna kita telah membuang sesuatu yang sangat berharga yang tiada ternilai harganya.

    Kedua : Masa adalah usia kita. Usia kita pula adalah modal hidup yang telah ditentukan kadarnya. Ia perlu diisi untuk menentukan kejayaan hidup kita di dunia dan di akhirat kelak.

    Tidakkah kita sedar hakikat ini? Seharian yang kita abaikan tanpa sebarang ilmu, kerja, amal ibadah atau apa juga kebaikan bererti ia telah dibiar lenyap pergi memamah usia kita. Inilah yang akan mengundang penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminun ayat 99 dan 100:

    "Kesudahan golongan yang ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, berkatalah dia, "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (hidup semula di dunia); Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah ungkapan yang sengaja dia lafazkan, sedangkan di hadapan mereka ada dinding (penghalang mereka ke dunia) sehingga hari mereka dibangkitkan semula".

    Ketiga : Masa adalah nikmat yang akan dihisab dan dipertanggungjawabkan di akhirat. Kita akan dipersoalkan terhadap perlakuan kita di setiap detik yang dilalui.

    Hadis daripada Abu Barzah al-Aslamiy R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda;


    "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa dia habiskan, tentang ilmunya apakah telah dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan dan tentang tubuh badannya pada perkara apa dia gunakan". (Riwayat at-Tirmidzi)
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...